Search This Blog

Monday, February 21, 2011

DOA YANG SANGAT WAJAR DIAMALKAN DI ZAMAN INI (AYAT PENGERAK)


Dengan itu jika kita amalkan doa yang tersebut di atas, insya’Allah kita akan terhindar daripada ”mudarat” yang disebutkan. Maka dengan itu faedahnya yang diperolehi ialah kita akan;

1. Beruntung, Tidak Menanggung Rugi.
2. Berhasil, Berjaya dan Tidak Gagal.
3. Selamat dari bahaya.
4. Tidak melarat, Menjadi Senang.

Terhindar Daripada Bahaya


Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Pengerak” kerana dengan membaca doa ini boleh mengerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan doa ini seperti berikut;

• Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.

• Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada dihadapan kita.

Perlu diingatkan disini bahawa, insya’Allah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.

Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan

Makanan dan minuman yang masuk ketubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.

Terhindar Daripada Sihir

Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.

Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.

Pengalaman penulis berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan. Gerai tersebut terletak di tepi jalanraya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua. Dalam peristiwa yang lain, sahabat penulis itu menceritakan dia pernah minum di sebuah restoran dimana gelas ditangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya. Kedua-dua kejadian ini berlaku kerana makanan dan minuman tersebut ada mengandungi sihir santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir dengan berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.

Dalam hal yang lain pula, ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.

Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus

Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.

Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah. - www.darussyifa'.org .........

Sunday, February 20, 2011

60 PETUA MENDAPATKAN PASANGAN


1. Semua orang ada jodoh atau pasangan yang menanti dan biasanya ia berada tidak jauh dari anda. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada jauh darinya.

2. Jodoh itu ketentuan Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh disertai dengan tawakkal, insyallah akan menemukan anda dengan pasangan anda.

3. Ramai orang masih belum bertemu jodoh kerana mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga anda bertemu jodoh.

4. Seimbangkan hidup anda dengan sempurna agar diri anda jadi seperti “magnet” yang menarik bakal pasangan anda kepada anda.

5. Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap semua orang di dunia ini.

6. Agar mudah orang sayang, cuci hati dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran, maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.

7. Sayangi semua orang di sekitar anda dan anda akan menarik sayang terhadap anda. Jika anda membenci orang, ditakuti bakal pasangan anda akan membenci anda.

8. Orang yang sedang mencari pasangan harus sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pasangannya pada bila-bila masa. Justeru, kita perlu sentiasa dalam keadaan yang paling menarik setiap masa. Tanggapan pertama adalah yang terpenting.

9. Untuk lelaki, tarikan pertama ialah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah dan bentuk badan menjadi tarikan pertama. Sediakan diri untuk menawan bakal pasangan anda.

10. Buka hati dan minda anda untuk menerima cinta. Cinta boleh berputik pada bila-bila masa. Cinta mudah datang kepada mereka yang sentiasa bersedia untuk menerima cinta.

11. Cinta datang melalui mata lalu turun ke hati. Justeru, perhebatkan hubungan mata secara memandang bakal pasangan dengan penuh kasih sayang.

12. Kita boleh berkomunikasi melalui fikiran. Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni anda terhadap pasangan dengan gelombang fikiran ini secara berterusan hingga berjaya.

13. Ramai yang terlepas peluang dan patah hati sebab lewat menyatakan hasrat kepada bakal pasangan. Perkara yang baik disegerakan (iaitu menyatakan perasaan anda kepada bakal pasangan).

14. Tidak salah untuk orang perempuan memulakan usaha untuk berkenalan. Orang lelaki akan sentiasa merasakan mereka yang memulakan perkenalan walaupun sebenarnya orang perempuan yang mulakan.

15. Berkomunikasi dengan mesra dan bersemangat menggunakan lidah, mata, hati dan bahasa badan. Elakkan bercakap sambil lewa atau kurang sopan terhadap bakal pasangan.

16. Berbual dengan pasangan mengenai apa yang dia suka. Beri tumpuan kepada minat dan perasaannya. Elakkan sibuk memberi tumpuan kepada diri sendiri.

17. Layan bakal pasangan dengan mesra seperti kawan lama walaupun baru berkenalan. Bentuk suasana keintiman dengan segera agar bakal pasangan rasa selesa.

18. Makin mudah kita menceritakan hal peribadi yang munasabah kepada bakal pasangan, semakin mudah dia menceritakan hal dirinya kepada kita.

19. Berdoa dan latih diri agar kita pandai mendampingi orang lain dan seronok untuk didampingi oleh orang lain. Buang perangai yang menyebabkan orang benci kepada kita.

20. Beri sayang untuk mendapat sayang. Orang yang masih ada perasaan benci terhadap sebarang orang boleh menyebabkan bakal pasangan benci atau tidak tertarik kepada kita. Justeru buang semua benci.

21. Untuk wanita, jangan jual mahal terhadap bakal pasangan. Tetapi, nyatakan dengan hikmah kepadanya yang anda amat sukar untuk berkenalan dengan lelaki lain.

22. Kebanyakan lelaki mudah tertarik kepada perempuan yang simple, tidak materialistik, mudah berterima kasih dan redha dengan setiap pemberian lelaki tersebut.

23. Orang perempuan mudah tertarik kepada lelaki yang memberi perhatian, penghargaan dan penghormatan kepada mereka. Justeru, orang lelaki janganlah terlalu jimat atau kedekut.

24. Orang lelaki perlu belajar mengenal kerenah orang perempuan. perasaan, pemikiran, kehendak, keperluan, kesukaan dan kebenciannya.

25. Elakkan memberi tumpuan kepada kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan. Jangan sesekali mengutuk atau memalukan bakal pasangan.

26. Senyuman ikhlas, wajah yang menawan dan bahasa badan yang penuh kemesraan akan menambat lelaki terhadap wanita.

27. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang ada persamaan dan ada perbezaan sifat, tindakan dan minat. Terlalu banyak persamaan membosankan. Banyak sangat perbezaan menyesakkan.

28. Orang mudah tertarik kepada bakal pasangan yang ada sikap dan sifat yang saling mengimbangi dan melengkapkan sikap dan sifatnya.

29. Walaupun belum kenal rapat dengan bakal pasangan, nyatakan yang anda sering merasa atau berfikir seperti yang dia rasa atau fikir. Keserasian adalah tarikan.

30. Perempuan membentuk hubungan dengan berbual dan bercakap. Lelaki bentuk hubungan dengan melakukan sesuatu kegiatan secara bersama.

31. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang mempunyai persamaan daripada berbagai segi seperti kefahaman politik, aktiviti keagamaan, sikap terhadap harta, wang dan hobi.

32. Dua orang yang amat banyak perbezaan boleh serasi antara satu sama lain jika mempunyai satu atau dua persamaan yang mendalam seperti suka kepada kucing, suka melancong atau suka ramai anak.

33. Tindakan yang serentak akan menarik bakal pasangan terhadap anda. Contohnya, serentak berpaling, serentak angkat gelas, serentak berdiri, serentak nak ke tandas.

34. Tawan hati bakal pasangan dengan pamerkan emosi yang sama terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa – sama-sama gembira, sedih, terperanjat, benci, simpati dan sebagainya.

35. Dua insan mudah serasi jika mempunyai pentafsiran yang sama mengenai hubungan – tahap keakraban, kebebasan, kebergantungan, pemberian, pengorbanan dan sebagainya.

36. Kenalpasti ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri ini dalam diri anda dan pamerkan kepadanya yang anda mempunyai ciri-ciri tersebut.

37. Semua orang mencari cinta sejati tanpa syarat. Bakal pasangan anda akan tertarik kepada anda jika anda mengasihinya bukan kerana wajah, harta, keturunan atau glamornya.

38. Bakal pasangan akan tertawan kepada anda jika anda dapat bantu mengukuhkan imej dirinya, rangsang semangatnya dan pupuk keyakinan dirinya.

39. Keikhlasan amat penting dalam memuji atau memotivasi bakal pasangan. Jika kita didapati bohong, dia akan terus menjauhkan diri daripada kita.

40. Pujian yang berhikmah dan ikhlas bertindak sebagai magnet yang menarik anda kepada bakal pasangan. Pujian daripada kawan baru lebih bermakna dan berkesan berbanding pujian daripada kawan lama.

41. Ulang sebut perkataan, ayat atau slogan yang digemari bakal pasangan anda. Ini menyebabkan dia rasa istimewa dan dihargai dan akan tertawan kepada anda.

42. Kenalpasti keistimewaan bakal pasangan anda yang orang lain tidak nampak. Sampaikan kehebatan ini dengan bersemangat dan dia akan mudah tertawan kepada anda.

43. Untuk bakal pasangan yang popular dan sering dipuji , cari pujian yang original untuk menambat hatinya. Untuk orang yang tidak popular, sebarang pujian amat dialukan dan dihargai.

44. Beri penghargaan serta merta kepada setiap pencapaian atau kejayaan bakal pasangan. Ini membelai dan melembutkan hatinya terhadap anda.

45. Jika bakal pasangan memuji anda, pamerkan keseronokan anda dengan senyuman dan ucapan terima kasih dan bersyukur. Dia akan rasa dihargai.

46. Cari keunikan, kelucuan atau ‘kegilaan’ bakal pasangan anda. Nyatakan yang anda suka kepadanya sebab keunikan tersebut. Ini buat dia rasa istimewa.

47. Ramai pasangan sengsara bila isteri terlalu cantik atau suami terlalu handsome. Justeru, cari bakal pasangan yang setara dan sepadan dengan kita.

48. Orang yang merasa dirinya hodoh sukar untuk mendapat pasangan. Carilah kecantikan yang ada pada anda dan bentuk keyakinan diri. Hati yang suci dan keyakinan yang tinggi menyerlahkan kecantikan anda.

49. Wanita mudah tertawan kepada lelaki yang gentleman – bersopan santun, suka membantu, menghormati wanita, berani dan yakin diri.

50. Untuk jadi lebih menawan, berterusan belajar, perbaiki perangai dan peribadi, baiki kemahiran komunikasi, murnikan hati, pemaaf dan sentiasa bersangka baik.

51. Lelaki harus mempamerkan sifat kelelakiannya di samping memasukkan sifat perempuan dalam dirinya seperti lebih prihatin, memahami emosi , timbang rasa, dan gunakan gerak batin.

52. Perempuan harus mempamerkan sifat kewanitaan disamping menghayati sifat lelaki seperti minat dalam politik, sukan, memancing, dan aktiviti macho yang lain. Bertindak bijak tapi, jangan terlalu bijak.

53. Untuk menambat hati wanita, kerap bertanya tentang perasaannya, aktiviti yang dijalankannya, kegemarannya, kebenciannya atau sebarang perkara yang berkaitan dengan emosi.

54. Sebelum benar-benar rapat, orang perempuan harus elakkan diri dari bertanya bakal pasangan mengenai perasaannya mengenai sesuatu perkara, peristiwa atau situasi.

55. Orang lelaki amat pantang bila bakal pasangan menempelak atau menunjukkan kesilapan atau kebodohan lelaki tersebut. Ini cara terbaik memutuskan hubungan.

56. Orang perempuan mudah tertawan kepada lelaki yang boleh mengaku salah, meminta maaf, meminta bantuan, bertolak ansur, pandai mendengar, bersabar dan lemah lembut terhadap wanita.

57. Bila bercakap dengan lelaki, orang perempuan harus fokus kepada fakta dan sampaikan secara ringkas. Penjelasan yang berjela-jela dan memasukkan unsur perasaan akan membunuh minat lelaki terhadapnya.

58. Jika orang perempuan marah, pujuklah dengan kasih sayang. Tanya Kenapa dia marah, dengari dengan teliti dan jangan komen atau cuba beri nasihat. Orang perempuan mudah sayang pada lelaki yang pandai mendengar dan sensitif kepada perasaannya.

59. Jika lelaki marah, jangan sibuk nak tanya Kenapa dia marah. Pamerkan kasih sayang dan bentuk suasana yang tenang. Doakan dia dan beri masa untuk dia merawat dirinya sendiri.

60. Fahami bahawa orang lelaki bercakap secara terus terang, ringkas dan objektif. Orang perempuan sering bercakap secara berlapik, terperinci dan banyak yang tersirat.

Oleh: Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah

Thursday, February 17, 2011

KERJA LEBIH MASA PUNCA MASALAH JANTUNG


Individu yang bekerja tiga jam atau lebih dari masa kerja sepatutnya dalam sehari, berdepan 60 peratus risiko lebih tinggi menghidap masalah jantung serius berbanding individu yang bekerja pada waktu biasa, demikian menurut kajian yang disiarkan di Jurnal Jantung Eropah.

Penemuan itu dibuat daripada projek penyelidikan jangka panjang melibatkan 6,014 kakitangan awam berumur 39 hingga 61 tahun, di mana dua per tiga adalah lelaki yang tidak mempunyai masalah jantung semasa kajian dimulakan pada awal tahun 1990-an. Sepanjang 11 tahun pengawasan dijalankan, 369 daripada sukarelawan itu meninggal dunia akibat penyakit koronari jantung (CHD) atau mengalami serangan jantung yang tidak membawa maut.

Selepas mengambil kira faktor risiko seperti merokok, berat badan berlebihan dan paras kolestrol yang tinggi, doktor mendapati bekerja lebih masa antara tiga jam dan empat jam sehari boleh mendatangkan risiko 60 peratus lebih berbanding individu yang bekerja pada masa biasa.

Kajian juga menunjukkan individu yang bekerja lebih masa agak kurus berbanding mereka yang bekerja pada waktu biasa dan ia kebiasaannya melibatkan lelaki dengan pekerjaan kelas tinggi berbanding wanita.

Para penyelidik berkata, kaitan antara masalah jantung dan kerja lebih masa agak nyata tetapi puncanya masih belum jelas, sekali gus menggambarkan betapa kompleksnya hubungan penyakit jantung dengan tempat kerja. Sebagai contoh, kerja lebih masa boleh memberi kesan kepada metabolisme atau tekanan tersembunyi, keletihan dan rasa mengantuk.

Turut wujud adalah satu fenomena yang dipanggil ‘bekerja ketika sakit’ di mana individu yang bekerja lebih masa akan tetap bekerja walaupun sedang sakit dengan mengabaikan simptom-simptom serta tidak bertemu doktor bagi mendapatkan ubat.

Bagaimanapun, individu yang suka dengan kerja mereka dan cenderung untuk bekerja lebih masa kerana seronok, mempunyai risiko lebih rendah menghidap CHD. “Lebih banyak penyelidikan perlu dijalankan sebelum kita yakin bahawa kerja lebih masa boleh mengakibatkan CHD,” kata Marianna Virtanen, pakar epidemiologi di Institut Kesihatan Pekerjaan Finnish Universiti College London. - AFP

Tuesday, February 15, 2011

SULTAN BRUNEI ADA 7,000 KERETA………


Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah memiliki koleksi kereta paling mewah dan terbesar di dunia, lapor GTSpirit.com semalam. Baginda memiliki 7,000 buah kereta berprestasi tinggi dengan anggaran harga keseluruhan mencecah AS$5 bilion (RM15.9 bilion).

Antara kereta mewah milik Sultan Hassanal Bolkiah termasuk sebuah kereta Porsche 959, Porsche Carrera GT, Lamborghini Diablo Jota, Lamborghini Murcielago LP640, Bugatti EB110, dua buah Bugatti Veyron (edisi biasa dan Pur Sang) , Maybach 62, Jaguar XJR-15 dan enam Dauer 962s.

Baginda turut memiliki enam buah kereta Ferrari FX, model asal Bentley Continental R, satu-satunya Porsche Carma di dunia, satu-satunya kereta sport Koenigsegg Agera CC GT, dua kereta konsep Ferrari Mythos yang beroperasi sepenuhnya, dua kereta Sedan Ferrari 456 GT, satu-satunya kereta Mercedes-Benz CLK-GTR pemanduan kanan di dunia, lima kereta lumba McLaren F1 termasuk dua model LM hitam dan tiga kereta Cizeta-Moroder V16T.

Sultan Hassanal juga merupakan pemilik 10 daripada 77 model Aston Martin One-77 yang pernah dikeluarkan, satu-satunya Aston Martin Convertible DB4 GT Zagato, dan satu-satunya kereta Cicero BDB Maestro.

Menurut akhbar Daily Mirror, setakat 30 Jun 2010, beliau memiliki 604 buah Rolls Royce, 574 Mercedes-Benze, 452 Ferrari, 382 Bentley, 209 BMW, 179 Jaguar, 134 Koenigsegg, 21 Lamborghini, 11 Aston Martin dan sebuah SSC. Koleksi penuh kereta itu disimpan dan diselenggarakan di lima buah hangar pesawat yang lokasinya dirahsiakan.

Monday, February 14, 2011

Selamat Menyambut Maulidur Rasul

طلع البدر علينا من ثنيات الوداع

وجب الشكر علينا ما دعى لله داع

أيها المبعوث فينا جئت بالأمر المطاع

جئت شرفت المدينة مرحباً يا خير داع

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Saintis cipta hujan lebat di gurun


DUBAI – Sekumpulan saintis berjaya menghasilkan kira-kira 50 hujan lebat di rantau Al-Ain, Abu Dhabi pada tahun lalu dengan menggunakan teknologi ion, lapor sebuah akhbar semalam.

Para saintis tersebut dilantik oleh Presiden Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan untuk melaksanakan projek rahsia itu.

Kebanyakan hujan lebat itu berlaku semasa kemuncak musim panas iaitu pada bulan Julai dan Ogos.

Semasa hujan itu turun pada tahun lalu, penduduk bingung dengan kehadiran hujan lebat tersebut yang kadangkala diikuti dengan ribut petir.

Para saintis ini menggunakan pengion gergasi berbentuk seperti terendak lampu yang dipasang pada batang-batang besi untuk menjana medan partikel bercaj negatif yang dipanggil elektron.

Keadaan ini menggalakkan pembentukan awan dan diharap dapat menghasilkan hujan.

Dalam satu video rahsia, pengasas syarikat Switzerland yang bertanggungjawab ke atas projek tersebut, Metro Systems International mengakui usaha itu akhirnya membuahkan kejayaan.

“Kami berjaya menghasilkan hujan,” kata pengasas Metro Systems International, Helmut Fluhrer.

Pada bulan Jun lalu, Metro Systems telah membina lima tapak pengionan yang setiap satu mengandungi 20 pemancar.

Pemancar itu mampu menghantar bertrilion-trilion ion yang membentuk awan ke atmosfera.

Menurut akhbar Sunday Times, sistem itu dipercayai berjaya menghasilkan hujan buat pertama kalinya.

Projek untuk mencipta hujan itu dipercayai melibatkan kos £7 juta (RM33.21 juta). – Agensi

Tuesday, May 13, 2008




Kelantan Secara Ringkas


Negeri Kelantan adalah sebuah daripada 13 buah negeri di Malaysia yang kaya dengan sumber asli. Mempunyai keluasan lebih kurang 14,922 km persegi, terletak di Timur laut semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan. Malaysia meliputi 336,700 km persegi yang terdiri daripada semenanjung Sabah dan Sarawak di Kepulauan Borneo. Kota Bharu, ibu negeri Kelantan, ialah sebuah bandar yang sibuk sebagai pusat tumpuan bagi pentadbiran dan aktiviti perniagaan. Negeri ini terbahagi kepada 10 jajahan pentadbiran iaitu, Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang. Negeri Kelantan menikmati iklim tropika yang baik, di mana hampir setiap tahun hujan turun dengan berselang-seli mengikut bulan tertentu pada setiap tahun. Biasanya hujan yang lebat akan berterusan selama beberapa hari atau beberapa bulan akan turun pada bulan November, Disember dan Januari. Suhu setiap hari dianggarkan dari 21° C hingga 32° C.Negeri Kelantan yang mempunyai penduduk seramai 1.4 juta yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina, India, Siam, dan lain-lain. Sebanyak 94% penduduk adalah berbangsa melayu. Penduduknya meningkat hampir 2.8% setiap tahun. Sebanyak 75% daripada penduduknya menetap di Utara negeri di mana kawasan itu meliputi sebanyak 17% daripada jumlah tanah negeri tersebut.Kelantan diperintah mengikut parti politik dan ia mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan, mungkin ini menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara unik dan matang yang mengamalkan sistem demokrasi. Persekitaran politik dan perbezaan antara negeri dan kerajaan Mukim bukan menjadi masalah untuk membuat pelaburan. Semua polisi berkenaan dengan pelaburan di Malaysia boleh dirujuk kepada kerajaan Mukim. Kerajaan negeri akan memberi segala kemudahan berkenaan dengan pelaburan.Dalam usaha untuk menarik minat pelabur melabur di Kelantan, kerajaan negeri berusaha untuk menawarkan pelbagai kemudahan seperti kemudahan infrastruktur. Negeri Kelantan mempunyai kemudahan yang secukupnya untuk menjalankan perniagaan secara kerjasama "Business Ventures". Terdapat 39 buah cawangan bank komersial dan 12 institusi kewangan yang beroperasi di negari ini.Sejumlah 2300 km jalan di negeri dan mukim adalah berhubung dengan bandar utama di Kelantan untuk ke Kota Bharu. Perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur mengambil masa selama 6 jam yang meliputi sebanyak 474 km melalui Gua Musang di Selatan Kelantan dan juga negeri Pahang.